direktori Direktori webmel Webmel

1. Apa itu PBS?

PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. PBS mentaksir bidang akademik dan bukan akademik.

Komponen PBS terdiri daripada Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum, dan Pentaksiran Psikometrik.

Pentaksiran Sekolah (PS) dilaksanakan oleh guru dan pihak sekolah sepenuhnya bermula dari aspek perancangan, pembinaan item dan instrumen pentaksiran, pentadbiran, pemeriksaan atau penskoran, perekodan dan pelaporannya.

Pentaksiran Pusat (PP) merupakan suatu pentaksiran yang dilaksanakan oleh sekolah di mana instrumen pentaksiran, tugasan, peraturan pentaksiran, garis panduan, peraturan penskoran, penggredan disediakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP). Manakala pelaporan dicetak oleh pihak sekolah. Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) adalah komponen di dalam pentaksiran pusat.

Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) adalah sebagai panduan untuk menilai aktiviti fizikal dan kesihatan serta mengukur penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam pelbagai aktiviti sukan, kokurikulum dan ekstrakurikulum.

Pentaksiran Psikometrik (PPsi) ialah suatu kaedah yang digunakan secara sistematik untuk mengumpul maklumat yang menggambarkan tret psikologi. Tret psikologi yang diukur merangkumi aptitud dan personaliti murid. Hasil dapatan PPsi dapat digunakan untuk membantu mempertingkatkan pembelajaran murid. PPsi mengukur kebolehan semula jadi (innate ability) dan kebolehan yang diperoleh (acquired ability) daripada pengalaman dan persekitaran.

2. Di mana dan bagaimana Pentaksiran Sekolah(PS) berlaku?

PS berlaku di dalam bilik darjah semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Proses ini berlaku secara berterusan dengan menggunakan kaedah formatif dan sumatif.

PS memberi penekanan terhadap pelaksanaan kaedah formatif, supaya guru memberi bimbingan secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (p&p) berlangsung agar dapat menentukan tahap pencapaian dan tahap penguasaan sebenar murid.

3. Apakah yang dimaksudkan Pentaksiran Sekolah(PS) secara formatif dan sumatif?

Pentaksiran secara formatif dilaksanakan seiring dengan proses p&p. Manakala pentaksiran secara sumatif dilaksanakan pada akhir suatu unit pembelajaran atau penggal.

Dalam melaksanakan PS, guru perlu merancang, membina item, mentadbir, memeriksa, merekod dan melapor pencapaian dan perkembangan pembelajaran murid dalam mata pelajaran yang diajar.

4. Siapakah yang melaksanakan Pentaksiran Sekolah(PS) dan bila ia dilaksanakan?

Guru akan melaksanakan PS secara berterusan, sama ada secara sumatif atau formatif. PS akan dilakukan oleh guru ketika sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung di bilik darjah.

5. Mengapa Pentaksiran Sekolah(PS) penting?

(i) Kepentingan kepada murid:-
•Mengetahui kekuatan dan kelemahan dalam pembelajaran
•Memperbaiki kelemahan dalam pembelajaran
•Mengukuhkan pembelajaran untuk mencapai tahap penguasaan lebih tinggi

(ii) Kepentingan kepada ibubapa:-
•Mengetahui perkembangan anak secara menyeluruh
•Mengetahui potensi, kekuatan dan kelemahan anak
•Mengenal pasti pencapaian anak dalam pembelajaran dari semasa ke semasa
•Membantu anak dalam pembelajaran berdasarkan maklumat pentaksiran

(iii) Kepentingan kepada guru:-
•Mengesan perkembangan murid secara menyeluruh
•Mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dalam pembelajaran dari semasa ke semasa
•Mengetahui keberkesanan pengajaran
•Merancang dan mengubahsuai pengajaran
•Menjalankan tindakan susulan yang wajar

(iv) Kepada pentadbir sekolah:-
•Mengetahui perkembangan murid secara keseluruhan
•Mengetahui keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran guru mata pelajaran
•Merancang program peningkatan murid
•Memantau pelaksanaan tindakan susulan

6. Bagaimana hasil pentaksiran berguna untuk murid?

Maklum balas yang diberi berdasarkan standard prestasi boleh membantu murid mengenalpasti kekuatan, kelemahan, kesilapan dan apa yang perlu dibaiki, bagaimana perlu diperbaiki untuk memberi hasil yang lebih baik.

Maklum balas yang memberi makna boleh membantu murid tentang tujuan dan perkembangan pembelajaran mereka. Keadaan inilah yang memberi motivasi untuk mencuba lagi bagi meningkatkan prestasi mereka di masa hadapan.

7. Bagaimanakah tahap penguasaan diukur dalam PS?

Tahap penguasaan diukur berdasarkan kriteria pencapaian yang berasaskan setiap kelompok Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran yang ditetapkan. Tahap penguasaan juga merupakan satu bentuk label yang digunakan untuk menunjukkan tanda aras tertentu yang disusun secara hierarki penguasaan dan pencapaian untuk tujuan pelaporan individu. Terdapat enam tahap penguasaan di dalam PS untuk menentukan di mana tahap penguasaan murid bagi setiap mata pelajaran.

8. Apakah peranan YDP Majlis Pengetua Daerah dan YDP Majlis Guru Besar Daerah sebagai Ahli Jawatankuasa PBS Daerah?

YDP Majlis Pengetua/Guru Besar adalah mewakili semua Pengetua/Guru Besar dalam daerah berkenaan untuk membawa isu-isu dan hasrat pelaksana (guru di sekolah) ke dalam mesyuarat JK PBS Daerah.

9. Sejauh manakah kuasa JK PBS Sekolah dalam pengoperasian PBS?

JK PBS boleh membuat keputusan dalam menetapkan pengoperasian PBS peringkat sekolah asalkan ianya mematuhi garis panduan dan arahan pelaksanaan yang ditetapkan

10. Bagaimanakah keanggotaan JK PBS Sekolah bagi sekolah kurang murid dalam?

Pelantikan JK PBS Sekolah adalah tertakluk kepada keperluan sekolah bagi sekolah kurang murid, seseorang guru mungkin perlu memegang lebih daripada satu folio.

11. Bolehkah sekolah melaksanakan pengoperasian komponen PBS mengikut kekuatan sumber yang ada dan menggunakan pendekatan tertentu?

Sekolah boleh melaksanakan pengoperasian PBS menggunakan sumber yang ada dan juga menggunakan pendekatan sesuai seperti yang diputuskan oleh JK PBS sekolah.

12. Perlukah murid yang baru pulang dari bermastautin di luar negara melaksanakan kohort PBS yang lepas?

Tidak perlu kerana pentaksiran PBS hanya dilakukan untuk tahun semasa.

13. Adakah murid dibenarkan memohon pengecualian dari melaksanakan PBS?

Tidak boleh. Semua murid ditaksir mengikut kemampuan masing-masing dan Pentaksiran boleh dilakukan apabila murid telah bersedia untuk ditaksir.

14. Bolehkah Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) menjadi pentaksir?

Boleh kerana pentaksiran mata pelajaran dilakukan semasa P&P dan guru yang mengajar sahaja boleh mentaksir muridnya.

15. Bolehkah seseorang guru yang tidak mengajar mata pelajaran menjadi pentaksir dan seterusnya membuat pentaksiran?

Tidak boleh kerana pentaksiran PBS dilakukan semasa pengajaran dan pembelajaran.

16. Bolehkah ibu bapa mendapatkan pelaporan Pentaksiran Sekolah murid bila diperlukan?

Ibu bapa boleh mendapatkan pelaporan Pentaksiran Sekolah murid bila-bila masa diperlukan. Walau bagaimanapun laporan prestasi tersebut hanya boleh diperoleh sekiranya pembelajaran dan pengajaran (P&P) dan pentaksiran topik dan kemahiran telah diajar kepada murid tersebut.

17. Bolehkah pihak-pihak yang berkepentingan seperti wakil rakyat, pertubuhan NGO, pihak swasta dan pihak lain selain ibu bapa mendapatkan rumusan pelaporan prestasi untuk tujuan memberi sumbangan dan motivasi kepada murid?

Pihak-pihak yang berkepentingan boleh mendapatkan pelaporan PBS sekiranya dipersetujui oleh JK PBS Sekolah berkenaan.

18. Adakah pelaporan PBS boleh digunakan sebagai asas kepada pemilihan penerima anugerah kecemerlangan murid di sekolah?

Pelaporan PBS wajar dijadikan asas atau kriteria kepada pemilihan penerima anugerah.

19. Adakah ibu bapa diberi kemudahan untuk mencapai sistem yang boleh mengeluarkan pelaporan bagi anak-anak mereka?

Tidak boleh. Ibu bapa perlu mendapatkan pelaporan PBS anak- anak mereka daripada guru di sekolah.

20. Bagaimanakah ibubapa sepatutnya memainkan peranan untuk memastikan tahap perkembangan pembelajaran anak mereka?

  1. Ibubapa wajar mengambil tahu perkembangan pembelajaran anak-anak mereka menerusi komunikasi dua hala dengan pihak sekolah, terutamanya apabila pihak sekolah mengundang ibubapa untuk mengadakan perbincangan.
  2. Membantu dan menyokong pembelajaran anak semasa di rumah.
  3. Peranan lain yang sesuai dilakukan oleh ibubapa adalah seperti berikut:
    • Penglibatan aktif terhadap aktiviti-aktiviti pendidikan yang dirancang oleh pihak sekolah.
    • Memberi maklum balas yang diperlukan oleh pihak sekolah berkaitan perkembangan pembelajaran anak-anak .
    • Bertemu dan berbincang dengan pihak sekolah berkaitan perkembangan pembelajaran anak.
    • Memeriksa semua tugasan setiap mata pelajaran dari semasa ke semasa dan berbincang dengan anak.
 

Submit to DeliciousSubmit to DiggSubmit to FacebookSubmit to Google PlusSubmit to StumbleuponSubmit to TechnoratiSubmit to TwitterSubmit to LinkedInRSS


Masa Capaian : 2.16 s.

Pilihan Warna: yellow green red
Saiz Tulisan:
A- A A+
Jenis Tulisan: