direktori Direktori webmel Webmel

 

TALKING POINT YB MENTERI PENDIDIKAN

Bersama Para Guru SJKT Di Negeri Kedah

Pada 12 November 2017

1.      Sukacitanya saya berbesar hati dan menganggap perjumpaaan ini amat bermakna kepada saya. Sememangnya mendidik merupakan suatu tugas yang berat dan amat mencabar kerana saya juga pernah bergelar seorang guru suatu masa dahulu, justeru saya merasa amat dekat dengan profesion keguruan yang telah pun sebati dalam diri saya. Syabas diucapkan kepada para guru atas kejayaan mengharungi segala cabaran dengan semangat yang kental demi mengangkat sistem pendidikan negara berada pada tahap membanggakan dan dikagumi oleh dunia luar. Sokongan padu yang ditunjukkan oleh guru-guru sekolah tamil dan masyarakat India Negeri Kedah pada petang ini, menjadi bukti betapa hebatnya anda berdiri teguh bersama saya membangunkan dunia pendidikan SJKT.

2.      Kualiti guru dan pencapaian sekolah tamil meningkat dan terus meningkat, jasa bakti yang menggunung dalam mendidik anak-anak sehingga menjadi insan berilmu dan berkeperibadian unggul telah mencorak ke arah penambahan dalam  bilangan sekolah tamil  terus meningkat. Ini menunjukkan kesan impak dasar-dasar kerajaan yang sentiasa menyokong kemajuan SJKT.

3.      Sambutan Pendidikan Tamil di Malaysia menjelang 200 tahun telah membuktikan keprihatinan kerajaan dalam usaha menyokong dasar pendidikan venikular di Malaysia yang dianggap unik di arena antarabangsa. Kementerian sentiasa terus berusaha memastikan kemenjadian murid sebagai warganegara unggul yang berjaya dan akhirnya dapat pula mencurahkan khidmat bakti kepada keluarga, agama, bangsa, dan negara tercinta.

4.      Untuk meningkatkan taraf SJKT , kerajaan telah mewujudkan plan tindakan sekolah tamil yang kini telah diperluaskan sehingga wujudnya Malaysian India Blueprint ( MIB ) yang mempunyai Visi dan Misi yang jelas dalam memperjuangkan martabat bahasa tamil di negara ini. Ia merupakan satu platform untuk menghargai serta mengiktiraf SJKT dan peranan warga pendidik SJKT di tanah air Malaysia yang tercinta ini.

5.      Keupayaan untuk membina negara bangsa pula bergantung kepada sejauh mana nilai patriotisme, toleransi serta sikap saling hormat-menghormati dapat dikongsi bersama oleh setiap lapisan masyarakat. Nilai yang seharusnya dihayati bersama ini perlu dipupuk seiring dengan aspirasi sistem pendidikan negara menerusi Anjakan ketiga Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Bagi menjamin keharmonian ini kerajaan setiap tahun memperuntukkan dana khas untuk membangunkan sekolah tamil ke arah yang lebih lengkap dengan pembangunan fizikal dan dalaman sekolah. Terkini, kerajaan telah menetapkan 2.6 billion ringgit untuk pembangunan dan penyelenggaraan SJKT di Negeri Kedah. Kerajaan akan terus memelihara, memberi bantuan dari masa ke semasa dalam menentukan kejayaan SJKT di negara ini.

6.      Penubuhan Persatuan Guru Besar Negeri Kedah telah memberi ruang dan peluang kepada warga pendidikan SJKT serta pemimpin dalam menentukan dan melancarkan aktiviti yang bermakna dalam meningkatkan kualiti guru dan kemenjadian murid. Lapan nilai aspirasi iaitu budaya ilmu, integriti, ketahanan, kesetiaan, kebijaksanaan, budaya ketepatan, budaya berprestasi tinggi dan budaya inovasi perlu diterapkan bagi memacu kejayaan SJKT yang akan dibimbing oleh Persatuan Guru Besar ini. Saya berharap persatuan ini akan memainkan peranan penting dalam membina acuan kejayaan SJKT Negeri Kedah dan akan membuktikan peranan penubuhan persatuan ini kepada semua rakyat Kedah khasnya kaum India yang inginkan kejayaan yang lebih terbaik dalam dalam pendidikan anak bangsa sendiri.

7.      Terima kasih buat semua guru SJKT. Jasamu dikenang, namamu dijulang. Semoga pengorbanan suci ini kekal terpahat indah dalam lipatan sejarah SJKT Kedah hari ini dan hari-hari berikutnya.

 

Sekian.

Submit to DeliciousSubmit to DiggSubmit to FacebookSubmit to Google PlusSubmit to StumbleuponSubmit to TechnoratiSubmit to TwitterSubmit to LinkedInRSS

Oleh : Webmaster
Masa Capaian : 2.0325 s.

Pilihan Warna: yellow green red
Saiz Tulisan:
A- A A+
Jenis Tulisan: